Sunday, December 21, 2008

Perang Keganasan Sudah Tidak Relevan

PERANG menentang keganasan atau 'war on terror' Presiden bersara George W Bush selama pentadbirannya lapan tahun lalu sudah tidak relevan lagi dengan realiti semasa dunia sekarang ini. Kedudukan sosiopolitik dan ekonomi dunia telah jauh berubah sejak Bush memulakan perang menentang keganasan pada tahun 2001, sebaik sahaja memenangi pilihan raya Presiden buat penggal pertama pada 2000. Dengan menyerang Afghanistan dan menjatuhkan kerajaan Taliban pada 2001 dan menggantikan dengan rejim Hamid Karzai, rejim yang menjadi boneka Amerika Syarikat (AS), Bush merasakan perang menentang keganasan telah mencapai matlamat awalnya. Tidak puas dengan serangan dan penaklukan Afghanistan, Bush meluaskan wilayah taklukannya apabila pada tahun 2003, Iraq ditakluki dalam serangan dan bersifat unilateral bersama-sama dengan sekutu baratnya terutama Britain yang dipimpin Perdana Menteri (PM) Tony Blair ketika itu. Sudah hampir lapan tahun berlalu tetapi peperangan menentang keganasan di dua medan terbesar tidak menampakkan suasana akan berakhir kerana penentangan yang diberikan pejuang berani mati, jihad Islam dan Mujahidin yang menyifatkan perjuangan mereka mempertahankan diri adalah jihad suci untuk menyelamatkan Islam dan ummahnya. Dalam konteks ini, AS dan sekutunyalah yang mengganas kerana menakluki dan menyerang negara umat Islam. Dua persepsi berbeza ini akan berterusan selama-lamanya dan penentangan antara yang beriman dengan yang kufur dan antara yang benar dan batil akan berterusan. Pelancaran perang menentang keganasan oleh Bush dan sekutunya bukan menjadikan dunia lebih aman dan damai tetapi sebaliknya meningkatkan suhu kebangkitan mempertahankan maruah harga diri, agama tauhid dan akidah islamiah, yang disifatkan oleh negara yang mengganas sebagai tindakan keganasan. Kebangkitan telah melebar dan meluas ke seluruh pelusuk dunia, bagaikan tiada wilayah, ceruk dan rantau yang tidak menerima reaksi kebangkitan umat Islam yang melihat apa yang berlaku sebenarnya adalah serangan di negara wilayah Islam. Sudahlah Bush kini menghitung 30 hari lagi apabila Presiden menanti, Barack Obama yang berketurunan Afrika akan mengangkat sumpah pada 20 Januari 2009, tidak dapat menyumbangkan kemenangan kepada negara berkuasa itu, tetapi pentadbiran Bush pula dianggap sebagai pentadbiran yang gagal selama lapan tahun dan Presiden paling buruk dalam sejarah AS yang mempunyai 44 Presiden setakat ini termasuk Obama. Obama yang akan memulakan pentadbirannya akan bertindak menutup penjara Teluk Guatanomo yang memenjarakan tanpa bicara mereka yang disyaki terlibat dalam 'keganasan' dan rekod Obama semasa menjadi Senator merupakan seorang yang menentang pelancaran perang terhadap Iraq oleh Bush dan konco-konconya. Obama juga akan memfokuskan perang menentang keganasan ke Afghanistan dan bukan lagi di Iraq dan telah menyarankan supaya tentera AS ditarik keluar dari Iraq dalam masa 16 bulan, tetapi Bush telah memateraikan perjanjian untuk menempatkan pangkalan tentera AS dan mengekalkannya sehingga 2011, di sebalik segala bantahan dan demonstrasi rakyat Iraq. Obama akan memutuskan kedudukan tentera AS di Iraq dan jika rancangannya memfokuskan peperangan menentang keganasan dialihkan ke Afghanistan dan Pakistan di mana pejuang Al-Qaeda dan Taliban membuatkan kehadiran mereka dirasakan oleh tentera multinasional NATO pimpinan AS, maka tentera AS akan dipindahkan dari Iraq ke Afghanistan. Dalam situasi peralihan kuasa yang sedang berlaku di AS, PM British George Brown yang menggantikan Tony Blair, dalam lawatan mengejutnya ke Baghdad telah mengumumkan penarikan keluar semua tentera British dari Iraq pada akhir Mei 2009. Ini memberi petanda Britain tidak lagi menyertai peperangan tidak relevan AS di Iraq dan hanya akan mengekalkan beberapa ratus orang tentera sehingga akhir Julai akan datang bagi membolehkan tentera British ini memberi latihan kepada tentera nasional Iraq. Tentera British yang berada di Basra telah pun menyerahkan kuasa mereka kepada tentera Iraq yang mereka latih. Situasi di Iraq termasuk di Basra, walaupun dikatakan berada dalam keadaan lebih baik sekarang tetapi tetap masih rapuh dan serangan-serangan berani mati, bom kereta masih berterusan. Siapakah yang akan mengisi kekosongan di Iraq dan menjadi kuasa penentu, jika selepas tentera British meninggalkan Iraq dan di ikuti dengan pengunduran yang dijanjikan Obama untuk membawa pulang tentera AS dari negara yang masih berperang itu? Kuasa serantau seperti Iran dan negara-negara Arab yang diketuai Saudi Arabia akan menjadi pemain utama dalam percaturan seterusnya dan kuasa AS serta sekutunya akan menjadikan Saudi Arabia dan negara Arab sebagai proksi mereka. Sebanyak 178 tentera British terbunuh di Iraq terutama di Basra dan ketika kemuncaknya tentera British berjumlah seramai 50,000 anggota. Tentera AS yang terbunuh seramai lebih 4,000 orang dan kerana jumlah kematian inilah tekanan terhadap Bush dan Brown begitu konsisten untuk menarik keluar tentera masing-masing dari Iraq. Fokus perang menentang keganasan akan beralih ke Afghanistan dan Pakistan yang mengikut Obama terdapatnya sarang Al-Qaeda dan pimpinannya Osama Laden dan Taliban pimpinan Mullah Omar. Mampukan pentadbiran baru menghadapi dan menghala serangan terhadap pejuang ini yang melakukan penyeberangan sempadan antara Afghanistan-Pakistan di kawasan bergunung-ganang dan berbukit-bukau di wilayah negara umat Islam. Pada ketika Obama sedang bersiap sedia mengambil alih pimpinan Rumah Putih dan memfokuskan 'war on terror' nya ke Afghanistan, sudah tumbuh pergerakan pejuang yang menamakan diri mereka sebagai Mujahidin India yang melakukan serangan di Mumbai. Di Somalia muncul pergerakan pejuang baru yang menamakan diri sebagai Al-Shahab di samping Pergerakan Mahkamah Islam yang hadir semula di Mogadishu setelah diusir keluar buat sementara oleh tentera Habsah yang menjadi proksi kepada kuasa AS dan barat. Pimpinan Al-Shahab telah menyatakan ikrarnya untuk berjuang di mana sahaja dan membawa perjuangan ke negara yang menyerang negara umat Islam. Inilah yang bakal dihadapi oleh Obama di era pentadbirannya. Sesudah Bush yang diberi penghinaan dengan balingan kasut oleh wartawan TV Iraq, apakah Obama juga bersedia menerima penghinaan sedemikian?